Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Berita Negeri , UTAMA - Pahang Unjur Pertumbuhan 5.2 Peratus Tahun Ini


KUANTAN - Negeri Pahang mengunjurkan pertumbuhan ekonomi tahun ini meningkat pada kadar 5.2 peratus, berbanding 4.9 peratus tahun lepas, ekoran peningkatan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) ke negeri ini.


Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata kemasukan pelaburan ke negeri ini juga adalah sangat seimbang, iaitu antara RM1.5 hingga RM2 bilion setiap tahun dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan.



"Jumlah pelaburan swasta pada tahun lepas kita mencatatkan rekod tertinggi dalam tempoh 10 tahun iaitu sebanyak RM6.63 bilion berbanding RM1.04 bilion pada tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Ekonomi Negeri Pahang 2012 di sini, hari ini.



Katanya, faktor kestabilan politik, kemudahan prasarana, bekalan sumber asli dan pemantapan modal insan di negeri ini menawarkan suasana pelaburan yang kondusif sekaligus menggalakkan aktiviti ekonomi yang pesat.



"Kita tak perlu pergi ke luar negara untuk mempromosikan negeri kita bagi menarik pelabur asing, kalau negeri kita bagus, ada sistem penyampaian yang bagus, dia akan suka dengan kita dan orang akan datang sendiri untuk melabur," katanya.



Dalam pada itu Adnan dalam ucapannya menafikan bahawa negeri Pahang muflis apabila didakwa mencatatkan bajet defisit bagi tempoh 2000-2010.



"Saya ingin maklumkan, dalam tempoh 10 tahun, kita mencatatkan enam bajet surplus (lebihan), dua bajet seimbang dan hanya dua bajet defisit.



"Negeri kita tidak bankrap, kalau kita bankrap, kita tak akan berupaya menarik pelabur-pelabur asing dan agensi-agensi lain untuk berniaga di sini sehingga kita berjaya mencatat jumlah pelaburan sebanyak RM6.63 bilion," katanya.



Sehubungan dengan itu, katanya, kerajaan negeri akan memantau perkembangan setiap pelaburan yang masuk ke negeri ini dan membuat pengumuman setiap lima atau enam bulan sekali.



"Silap saya selama ini sebab saya tak buat pengumuman tentang aliran kemasukan FDI atau DDI ke negeri ini, saya ingatkan bila pelaburan masuk, ekonomi baik, ada peluang pekerjaan dah ok..tapi sebenarnya kita kena bagi tahu orang ramai," katanya.



Konvensyen selama dua hari itu dihadiri oleh kira-kira 1,000 peserta dari seluruh negara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...