KUANTAN - YAB Menteri Besar Pahang menyatakan bahawa dunia sekarang sudah banyak berubah yang turut mengubah corak pemikiran Mahasiswa di Malaysia.
Bagi beliau, masa sentiasa membawa perubahan dan turut mempengaruhi persepsi masyarakat terutama dikalangan anak - anak muda.
"Jika hendak dibandingkan dengan zaman dahulu, amat jauh bezanya dimana sesetengah golongan dipandang rendah berdasarkan kepada kerja mereka.
Namun, ianya berubah dimana zaman sekarang golongan tersebut dipandang tinggi dan juga dihormati seperti golongan artis," kata beliau ketika menyampaikan ucapan sempena Jamuan Makan Malam Aman Kampus 2012 disini.
Tambah beliau, zaman sekarang lebih cenderung kepada ilmu pengetahuan dan melihat siapa yang lebih pandai. Namun istilah pandai itu sendiri bergantung kepada keadaan.
"Pandai ini merujuk kepada ilmu pengetahuan, kemahiran, keupayaan dan kebolehan luar biasa. Dalam keadaan semasa, kepandaian ini diukur pada tahap keintelektualan itu sendiri," tambah beliau lagi.
Dato' Sri Diraja Haji Adnan Bin Haji Yaakob turut mengulangi petikan kata - kata Tun Dr. Mahathir Mohamed yang mengingatkan agar Mahasiswa dan Mahasiswi menumpukan perhatian dalam Pelajaran.
"Tugas seorang pelajar ini adalah untuk belajar. Perkara lain bukan menjadi satu keutamaan," jelas beliau lagi.
Selain itu, YAB Menteri Besar Pahang juga turut menyeru kepada Mahasiswa yang hadir agar meneruskan kerja - kerja sukarela seperti yang sedang mereka lakukan hari ini.
"Sekurang - kurangnya, ada juga sumbangan kita kepada masyarakat dan tidak hanya tahu mempertikaikan sahaja," katanya.